Segala puji hanyalah bagi Allah. Kami memuji-Nya, mengharapkan pertolongan-Nya, meminta ampun kepada-Nya, serta memohon petunjuk-Nya. Kami juga berlindung kepada-Nya dari kejahatan hawa nafsu dan dari kejahatan amal perbuatan kami. Orang yang diberi petunjuk oleh Allah tidak seorang pun yang dapat menyesatkannya. Sebaliknya, orang yang disesatkan tidak seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad itu adalah hamba dan pesuruh-Nya. Semoga Allah melimpahkan salawat dan salam kepada Nabi Muhammad, keluarganya, para sahabat dan sekelian pengikutnya hingga ke akhir zaman.
Al-Hafiz Al-Hakami dalam sebuah syairnya, mengatakan :
Ingatlah kematian dan peristiwa-peristiwa terjadi selepas itu;
tidak seorang pun yang dapat melepaskan diri daripadanya.
Kematian merupakan penentuan segalanya;
segala sesuatu menjadi jelas akibatnya.
Kubur boleh menjadi sebuah taman syurga;
dan boleh pula menjadi lubang neraka.
Jika ia baik, maka setelahnya itu
adalah kenikmatan yang tiada bandingannya dari Tuhan.
Jika ia jahat, maka setelahnya itu;
adalah kesengsaraan jauh lebih dahsyat.
Demi Allah, sekiranya kau tahu apa yang berlaku selepas itu;
tentulah kau tidak akan tertawa malah banyak menangis.
Wahai sekelian hamba Allah! Semua manusia sedang berjalan menuju kematian. Dia akan ingat sebuah ketentuan yang pasti dialami oleh setiap insan. Iaitu sebuah kemestian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada sekalian anak cucu Adam. Pada saat kematian menjelma, ia akan menghinakan para pelaku kezaliman dan melumpuhkan para pelaku maksiat. Orang derhaka akan insaf dan orang yang berdosa akan bertaubat.
Saat kematian tiba adalah saat yang sangat menyakitkan yang akan dilalui oleh semua orang, samada raja mahupun rakyat jelata, samada pemimpin mahupun orang yang dipimpin, samada orang kaya mahupun orang miskin. Persediaan diri yang sebenarnya adalah ketika menghadapi kematian. Berazamlah untuk memanfaatkan waktu sebaik-baiknya dengan melakukan amal soleh dan tidak membuangnya dengan sia-sia.
Apabila Sufyan al-Tsauri duduk beramai-ramai bersama rakan-rakannya di suatu majlis, dia hanya duduk sekejap sambil membaca tasbih dan kemudian terus berdiri.
Rakan di sekelilingnya hairan sehingga mereka bertanya : “Kenapa dengan dirimu Abu Sa’id?”
Ia menjawab : “Demi Allah, aku baru sahaja teringat akan kematian.”
Anak muda sudahpun beruban
Dan orang tua telahpun binasa
Waktu pagi dan waktu petang
Datang silih berganti.
Malam yang usang itu digantikan dengan siang
Dan generasi baru pun berdatangan
Kita pergi dan pulang kerana keperluan hidup
Padahal keperluan orang yang hidup itu tak putus-putusnya
Setiap keperluan mati bersamaan
Dengan kematian pemiliknya
Keperluan yang tetap hidup hanyalah amal soleh dan kebajikan…
Oleh itu Adz-Zahabi berkata : “Sufyan al-Tsauri mati kerana dia mengingati kematian, sehingga merosak denyutan darah dalam jantungnya. Ketika itu dia dibawa kepada seorang doktor, doktor itu berkata “Orang ini tidak akan hidup lebih dari tiga hari lagi.”, kerana jantungnya sudah tidak bergerak tidak seperti biasanya.”
Sufyan al-Tsauri pernah membaca surah at-Takastur pada suatu malam, lalu mengulang-ulangi sampai waktu paginya sambil menangis. Keluarga dan tetangganya juga ikut menangis kerana mendengar tangisannya itu. Mengapakah sampai demikian? Sebab dia menghayati betul-betul maksud ayat yang dibacanya dan meyakini benar akan hari Akhirat. Allah SWT telah berfirman :
“Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.” (at-Takastur : 5)
Malangnya kita sekarang hanya mengagak-agak bahawa hari Akhirat itu ada. Padahal kita tahu bahawa kita bakal mati. Kita sering mengebumikan datuk, ayah, ibu dan saudara-mara namun semua pengalaman dan pengetahuan itu seperti tidak ada faedahnya bagi kita. Seandainya keyakinan terhadap adanya hari Akhirat itu benar-benar tertanam dalam hati kita, nescaya kita menghadap kepada Allah, mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta kita sentiasa memelihara waktu untuk sentiasa bersama Allah.
Maimun bin Marhan seorang ahli ibadah yang zuhud lagi alim, telah menggali kubur dalam rumahnya sendiri. Lalu setiap malam dia masuk ke dalam kuburan buatannya itu untuk membaca al-Quran sambil menangis. Jika tidak tahan kepanasan dan kegelapan ruang sempit itu dia keluar darinya dalam keadaan menangis sambil berkata kepada dirinya sendirinya : “Wahai Maimun, kamu telah kembali lagi ke dunia, maka segeralah untuk memperbanyak amal soleh.”
Ada juga ulama yang menyiapkan kain kafan untuk dirinya dan meletakkannya di bahagian atas punggung bilik tidurnya sehingga setiap hari matanya melihat kain kafan tersebut dan hatinya selalu teringat akan kematian.
Beberapa faktor yang boleh mengingatkan kita kepada kematian :
Faktor Pertama
Hendaklah kamu sering menziarahi kubur. Janganlah kamu sentiasa sibuk di pasar-pasar, di pameran-pameran, di istana-istana, di perayaan-perayaan, di taman-taman, dan di rumah-rumah yang megah yang membuatmu lalai daripada menziarahi kubur. Jadikanlah ziarah kubur sebagai salah satu agenda tetap kegiatan hidupmu, lalu berdirilah disana barang beberapa saat dan ingatlah dimanakah rakan-rakanmu yang dahulu selalu bermain riang bersamamu? Dimanakah orang-orang yang dahulunya kamu kenal dan mereka juga mengenalimu? Dimanakah orang-orang yang dahulunya kamu saling bersenda-gurau bersama mereka?
Pada suatu hari Umar bin Abdul Aziz melaksanakan solat Hari Raya bersama umat manusia, lalu beliau menziarahi sebuah perkuburan ketika pulang menuju rumahnya. Di sana dia berdiri menatap perkuburan tersebut lalu menangis. Kemudian dia berkata kepada orang-orang yang berada di sekelilingnya : “Wahai kawan-kawanku, sesungguhnya ini adalah perkuburan datukku, ayahku, saudara-saudara dan jiran-jiranku. Tahukah kamu apa yang telah diperbuat oleh kematian terhadap mereka semua?”
Dia pun terus menangis dan menangis. Mereka menjawab : “Sesungguhnya kami tidak tahu. Lalu apakah yang diperbuat kematian terhadap mereka, wahai Amirul-Mukminin?”
Umar bin Abdul Aziz berkata : “Ketahuilah bahawa kematian telah memakan kedua-dua biji mata mereka, memisahkan kedua telapak tangan dari pergelangan mereka, memutuskan kedua pergelangan dari siku mereka, dan melepaskan kedua lengan dari badan mereka. Segala sesuatu dari tubuh mereka telah dipisahkan oleh kematian.”
Kemudian dia menangis lagi dan orang-orang itu ikut menangis, tanpa mengira orang soleh mahupun orang fasik.
Inilah sebuah pengajaran yang memberikan nasihat kepadamu yang tidak dapat terlupakan selama-lamanya. Oleh itu, hendaklah kamu menziarahi kubur walau sekali dalam seminggu untuk mengingati ayah, bapa saudara, ibu saudara, ibu atau nenek. Ingatlah bagaimana keadaan mereka semasa bergelut dengan kematian yang amat menggerunkan ini.
Faktor Kedua
Membaca kitab Allah sambil menghayatinya. Berusahalah menangis jika kamu tidak menangis dengan tangisan yang sebenarnya.
Umar Al Khattab r.a. berkata : “Jika kamu tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk menangis.”
Bacalah al-Quran itu secara perlahan dan berusahalah untuk menghayati kandungannya. Semoga dengan demikian Allah mengurniakan ke arah jalan yang benar dan mengembalikanmu kepada kelompok-Nya.
Faktor Ketiga
Berteman dengan orang-orang yang soleh. Ketika duduk bersama mereka, rahmat Allah akan turun dari langit, jiwa menjadi tenang, dan Allah akan meliputimu dengan keutamaan dari-Nya. Mereka akan mengingatkanmu kepada kematian dan kehidupan akhirat. Mereka tidak akan melengahkanmu dari mengingati keduanya dengan pelbagai kegiatan yang sia-sia seperti yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak soleh.
Kita memohon kepada Allah agar Dia memperbaiki keadaan kita kepada keadaan yang lebih baik, mengembalikan kita kepada-Nya dengan cara yang terbaik dan menjadikan pemimpin kita dari kalangan orang yang dikasihi-Nya. Kita juga memohon agar Dia menghiasi diri kita dengan iman, keyakinan dan ihsan di samping mengingatkan kita kepada kematian serta menjadikan kita sebagai orang-orang yang sentiasa bersiap-sedia menghadapi kematian ini. Juga semoga Dia memelihara waktu, umur, dan kehidupan kita di alam dunia yang fana ini.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa melakukan semuanya itu.
Salawat dan salam sentiasa tercurahkan ke atas Jujungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda sehingga ke akhir zaman.
Wallahu a’alam.
No comments:
Post a Comment